PENGASUH TERKEJUT BUDAK JADI BIRU


Harian Metro 2 Jun 2011..

Pengasuh terkejut budak jadi biru

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan maut dipercayai akibat tersedak susu di sebuah rumah pengasuhnya di Ukay Perdana, Ampang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa tidur dalam sebuah bilik sebelum dikejutkan untuk diberi minum susu oleh pengasuhnya.
Sumber berkata, sebaik mengejutkan mangsa, pengasuhnya pergi ke dapur kira-kira 10 minit untuk membuat susu sebelum menyedari muka mangsa pucat.
Difahamkan, ibu bapa bayi itu yang bekerja menghantar anak sulungnya itu setiap pagi ke rumah pengasuhnya berhampiran rumah mereka dan akan mengambil semula selepas tamat waktu kerja.
“Terkejut melihat muka bayi yang pucat dan kebiruan, wanita berusia 40-an itu cuba mengejutkan semula bayi terbabit, namun tiada tindak balas.
“Berikutan itu, wanita terbabit yang bimbang keadaan bayi perempuan itu segera menghantarnya ke hospital berhampiran,” katanya.
Menurutnya, bayi itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat tersedak susu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
Usaha Harian Metro untuk menemubual ahli keluarga mangsa bagaimanapun tidak berhasil apabila mereka enggan ditemu bual.
Mayat mangsa dituntut ibu bapanya kira-kira jam 7 malam sebelum jenazahnya dibawa ke surau berhampiran untuk disembahyangkan dan dikebumikan.

SOURCE: SINI

MOMMY:
Aduh.. i live at Ukay Perdana u know!! This news mmg bg Mommy rasa seram sejuk & terus call my nanny.. Ya Allah.. sentiasa pelihara anakku Ya Allah.. Amin.

Labels: