JOM LATIH ANAK BERPUASA.. SEAWAL 5 TAHUN

HD ticik lagi la Mommy.. xkn kena bgn sahur kot????
Seawal usia lima tahun anak boleh dilatih untuk berpuasa. Ibu bapa perlu menggunakan kaedah yang betul tanpa ada unsur paksaan untuk melatih anak berpuasa. Di sini terdapat beberapa panduan untuk melatih anak anda berpuasa di bulan Ramadan ini.

Latihan puasa
Biarkan mereka mencuba dahulu untuk berpuasa. Dia mungkin dapat bertahan setengah hari sahaja kerana terlalu lapar. Dengan cara latihan yang bertahap seperti itu, si anak tidak akan menganggap berpuasa sebagai beban kepadanya kerana dia masih dalam peringkat menyesuaikan diri. Lakukan setiap hari sehingga dia sudah bermotivasi untuk bertahan lebih lama dan seterusnya berpuasa penuh.

Hadiah
Ganjaran berunsurkan keduniaan seperti pemberian wang tidak digalakkan kerana mengajarnya untuk berpuasa kerana habuan. Berikan pujian kepadanya dan katakan dirinya disayangi oleh ALLAH kerana berpuasa seperti orang Muslim yang lain. Dedahkan dirinya dengan persekitaran orang yang berpuasa seperti kawan-kawan tadika, sepupu, serta kakak atau abangnya. Cara ini memberi dorongan kepadanya untuk menjadi seperti mereka yang berjaya puasa.

Pilih cerita-cerita Islam
Selalulah bercerita tentang suasana puasa dan mengenai perjuangan Rasulullah atau sahabat yang di bulan Ramadan. Jangan lupa selitkan pengalaman anda semasa kecil ketika menjalani ibadah puasa. Dengan ini, si kecil akan lebih memahami tentang Ramadan dan bersabar untuk menunggu waktu berbuka.

Suasana rumah
Suasana rumah yang berubah juga akan mempengaruhi emosi anak mengenai kedatangan bulan yang mulia ini. Contohnya ubah susun atur rumah dengan meletakkan Al-Quran di ruang tamu untuk anda bertadarus serta ruang khusus untuk solat berjemaah. Dia akan menyedari bahawa bulan ini begitu istimewa kepada ibu bapanya.

Latih bangun malam
Apabila puasa bermula esok, latih anak untuk belajar bangun untuk makan sahur bersama. Mungkin pada awalnya dia agak sukar untuk bangun. Namun jika lakukan setiap hari, dia akan teruja untuk bangun. Tetapi pastikan dia tidur awal daripada kebiasaan.

Menu kegemaran
Untuk menarik minat anak, sediakan menu kegemaran anak dan wujudkan suasana sahur yang menyeronokkan untuknya sehingga dia tidak terpaksa untuk bangun awal pagi untuk bersahur dan biarkan anak makan di akhir waktu sahur. Pastikan menu berubah setiap hari supaya dia tidak mudah jemu untuk menjamah hidangan.

Kata-kata pujian
Ibu bapa juga boleh membentuk suasana dalam keluarga berasaskan kepada pujian yang boleh menyebabkan mereka rasa dihargai dan disayangi. Sebagai contoh, kata-kata pujian yang boleh merangsang jiwa anak-anak, "Bagus adik ini puasa sampai habis. Tuhan sayang kepada orang yang sabar."

Rukun Islam ketiga
Terangkan kepada anak bahawa Islam adalah agama yang suci dan ALLAH S.W.T. perintahkan kepada manusia agar mengikuti suruhan-Nya dan ALLAH menjanjikan ganjaran kepada orang yang melakukannya. Dan puasa adalah rukun Islam ketiga yang harus dilaksanakan oleh umat Islam.

Ubah jadual makan
Buatkan jadual makan yang berbeza iaitu daripada tengah hari kepada lewat petang dan terangkan pada mereka tentang perubahan tersebut. Lama-kelamaan mereka akan faham bahawa jadual makan ialah seawall pagi dan lewat petang pada bulan Ramadhan. Beritahu kepadanya bahawa perubahan jadual makan hanya berlaku pada bulan puasa sahaja.

Pahala daripada ALLAH
Latih anak untuk berpuasa secara beransur-ansur selama beberapa jam dan kemudian beberapa hari. Ganjaran berupa pujian boleh diberikan untuk menggalakkan mereka berpuasa tetapi yang lebih penting selalulah menerapkan dalam diri anak untuk mendapatkan pahala dan keredaan ALLAH dalam apa juga dilakukan.

Solat Tarawih
Istimewanya bulan ini ialah dapat menunaikan solat berjemaah dan tarawih berjemaah di masjid. Bawa dia ke masjid atau surau berhampiran untuk solat tarawih berjemaah. Suasana baru ini akan memberikan satu perasaan betapa damai dan mulianya bulan ini.

Sambutan hari raya
Ceritakan tentang kemeriahan hari raya bukan sekadar dapat baju baru dan merasai kuih raya, tetapi meraikan kejayaan berpuasa pada bulan Ramadan. Pasti anak teruja untuk berpuasa dan sekali gus meraikan hari raya setelah berjaya berpuasa dan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

TIP MUDAH
SUMBER: SINI

Labels: ,