APA ITU PNEUMONIA?
Jangkitan di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia). Pneumonia adalah jangkitan kuman di tisu paru-paru. Ia adalah jangkitan virus atau bakteria streptococcus (S.) Pneumonie yang biasa menyerang di kalangan kanak-kanak dan orang-orang tua. Kadangkala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selsema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan. Jangkitan kuman ini melibatkan keadaan yang tidak serius sehinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa. Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap minit di seluruh dunia akibat jangkitan ini.
Simptom dan Tanda-tanda
Ia berbeza-beza mengikut usia dan bergantung kepada masalah yang dihadapi sama ada;
- Meningitis : demam, meragam, sakit kepala, muntah dan pengsan.
- Radang paru-paru : boleh menyebabkan demam, susah bernafas, batuk, sakit dada dan hilang selera makan.
- Otitis Media (Jangkitan telinga tengah) : sakit telinga, susah mendengar dan kadangkala demam.
Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami;
- demam panas
- batuk dengan atau tanpa kahak [Batuk yang mengeluarkan kahak berwarna kuning, hijau, keperangan atau mungkin mengandungi darah (mukus dikeluarkan dari paru-paru)]
- sakit dada
- tiada selera makan, tidak mahu makan
- rasa tidak sihat, sering merengek
- pernafasan laju atau susah bernafas
- muntah atau cirit birit
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun kerana mereka mudah kekurangan air (dehidrasi) dan kekurangan oksigen.
Rawatan untuk Jangkitan di Paru-paru
Jenis rawatan adalah bergantung kepada tahap jangkitan.
- Tidak serius dan disebabkan oleh virus : sistem imunisasi badan akan memainkan peranan untuk melawan penyakit ini, doktor akan memberi ubat dalam bentuk pil dan anak anda perlu rehat secukupnya dan minum air yang banyak.
- Tidak serius dan disebabkan oleh bakteria : doktor akan memberi antibiotik dan ubat yang sepatutnya.
- Jangkitan yang lebih serius akan diberi ubat melalui suntikan.
- Jangkitan yang berlarutan dan menjadi kritikal : anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapat oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.
Langkah-langkah Pencegahan
- Mengekalkan amalan cara hidup sihat.
- Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik.
- Meneruskan penyusuan susu ibu.
Mengambil imunisasi bagi mencegah jangkitan kuman di paru-paru seperti;
- vaksin pertussis (batuk kokol)
- vaksin measles (demam campak)
- vaksin influenza
- vaksin pneumococcal
Berjumpalah doktor sekiranya....
- Gejala-gejala masih berterusan.
- Suhu badan meningkat lebih 380C dan berterusan.
- Kesesakan nafas semakin teruk.
- Batuk yang berpanjangan.
- Kahak berubah warna.
- Sesak dada.
- Kulit, kuku tangan dan kaki menjadi biru.
- Kahak mengandungi darah.
- Muntah, loya dan mengalami cirit-birit.
- Fikiran terkeliru.
APA PULA BRONKITIS?
Bronkitis ialah sejenis keradangan atau kerengsaan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru.
Terdapat 2 bentuk bronkitis.
- Bronkitis Akut (berakhir dalam masa 3 hari hingga 3 minggu)
- Bronkitis Kronik (boleh berakhir sehingga 3 bulan dan menyerang semula untuk selama 2 tahun atau lebih).
- Kanak-kanak seringkali mendapat jangkitan Bronkitis Akut.
Apakah yang menyebabkan Bronkitis?
- Bronkitis selalunya disebabkan oleh virus atau bakteria dan diburukkan lagi oleh pencemaran udara termasuklah asap rokok, wasap kimia dan habuk. Bronkitis boleh menjadi kronik terutama di kalangan mereka yang merokok atau bekerja di kawasan yang udara tercemar. Apabila bahan- bahan pencemar ini disedut ke dalam paru-paru secara berterusan, ia akan menggangu saluran pernafasan. Seterusnya mengakibatkan keradangan dan pengeluaran mukus yang berlebihan. Keadaan ini akan menyempitkan saluran pernafasan, menjadikannya mudah terdedah kepada sebarang jangkitan yang selalunya akan berulang dan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk.
Gejala yang perlu diberi perhatian
Bronkitis Akut
|
Bronkitis kronik
|
- Batuk mengandungi sedikit kahak ataupun tiada
- Demam ringan (kurang 38.30C atau 1010F)
- Sakit tekak
- Sakit otot
- Kelesuan
|
- Penyebab utamanya ialah merokok
- Batuk yang berterusan dan mengeluarkan kahak yang semakin lama semakin banyak sepanjang hari dan malam. Biasanya batuk semakin teruk di waktu pagi (dikenali sebagai 'batuk perokok').
- Sukar bernafas dan terasa sesak dada
- Kadang berbunyi ronkus (sukar bernafas yang mengeluarkan bunyi seperti siulan)
|
Bagaimana doktor dapat mengesan Bronkitis?
- Doktor akan bertanyakan tentang gejala yang dialami.
- Doktor tidak akan mengambil kira sebab-sebab lain yang menyebabkan kesukaran bernafas.
- Jika doktor mengesyaki anda menghidapi Bronkitis, anda akan disyorkan menjalani ujian fungsi paru-paru untuk mengetahui sama ada paru-paru anda berfungsi dengan sempurna dan untuk mengetahui sama ada paru-paru anda telah rosak.
- Doktor mungkin meminta anda menjalani X-ray dada dan ujian darah.
Pengurusan sendiri
- Penjagaan sendiri untuk penyakit Bronkitis ini ditumpukan kepada pengeluaran mukus.
- Dapatkan rehat di tempat tidur secukupnya.
- Minum lebih banyak air (tingkatkan pengambilan cecair sebanyak 8-10 gelas sehari) untuk mengelakkan dehidrasi dan mencairkan rembesan dalam paru-paru.
- Dapatkan pertolongan seseorang untuk mengurut otot dada dan belakang anda. Ini akan membantu mengendurkan otot-otot tersebut menjadikan anda terasa lebih selesa
Ubat Untuk Merawat Bronkitis
Doktor anda mungkin:
- Mencadangkan ubat yang dikenali sebagai bronkodilator untuk merawat bronkitis anda. Ubat ini akan membuka saluran udara di dalam paru-paru dan memudahkan anda bernafas.
- Mencadangkan prosedur penyaliran postur secara berkala (berbaring dengan kepala lebih rendah daripada dada) untuk mempercepatkan pengeluaran kahak.
- Menjalani program senaman dikenali sebagai program pemulihan pulmonari untuk membantu memulihkan pernafasan (pemulihan pulmonari akan dikendalikan oleh jurupulih anggota)
Ubat-ubatan yang mungkin disyorkan ialah:
- Ubat antipiretik-analgesik yang ringan untuk melegakan sakit otot dan demam, seperti aspirin, parasetamol (elakkan dari memberi aspirin kepada kanak-kanak, biasanya diberi parasetamol).
- Ubat menghentikan batuk untuk melegakan batuk-batuk yang sering mengganggukan.
- Ubat batuk untuk mengeluarkan kahak.
SUMBER: KKM
Labels: ASTHMA, BABY, BRONCHITIS, HEALTH, INFO, KAHAK, PHLEGM, PNEUMONIA