Get me outta here!

Thursday, October 13, 2011

ULSER MULUT BAYI

Ulser Yang Menyakitkan Dalam Mulut
Oleh Dr Mary Marret, Pakar Runding Pediatrik

Apabila anak anda menjerit kesakitan ketika minum jus, mungkin terdapat ulser di dalam mulutnya. Jadi apa yang boleh anda lakukan untuk melegakan kesakitannya?

Ulser mulut adalah kudis kecil berbentuk bulat atau bujur dalam mulut yang menyakitkan. Ulser boleh muncul pada sebelah dalam pipi atau bibir, hujung lidah, atau pada pangkal gusi.

Ulser mulut secara amnya tidak berbahaya, tetapi boleh mengganggu keselesaan kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila ia menyebabkan kesukaran untuk makan, minum, bercakap dan juga tidur. Bagi sesetengah kanak-kanak, ia sungguh menyakitkan sehingga mereka enggan makan, minum atau menggosok gigi. Sesetengah kanak-kanak lebih kerap mengalami ulser mulut berbanding kanak-kanak lain.


Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Ulser Mulut

Ada kanak-kanak lebih mudah mendapat ulser mulut yang berulang-ulang. Masalah ini ada kalanya diwarisi dalam keluarga. Ulser mulut selalunya kecil (kurang daripada 1 sm) berwarna kelabu atau kuning, dengan garisan tepi yang kemerah-merahan.

Ia mungkin disebabkan oleh trauma seperti luka atau lelas akibat tergigit lidah secara tidak sengaja, menggosok gigi terlalu kuat, hujung gigi yang kasar atau pengambilan makanan atau minuman yang sangat panas. Ia juga boleh berpunca daripada tekanan, contohnya semasa peperiksaan sekolah. Kekurangan vitamin dan mineral seperti zat besi, folat dan beberapa jenis vitamin B mungkin juga menjadi punca pertumbuhan ulser. Anak anda mungkin mengadu mulutnya rasa berdenyut-denyut atau pedih satu atau dua hari sebelum ulser kelihatan.

Kadangkala ulser mulut disebabkan oleh jangkitan virus seperti penyakit tangan, kaki dan mulut, atau cacar air. Ulser jenis ini mungkin mempunyai kaitan dengan demam dan juga ruam pada bahagian tubuh yang lain.

Apa yang Boleh Anda Lakukan

Ulser mulut cepat sembuh, biasanya dalam tempoh satu atau dua minggu tanpa sebarang rawatan. Namun, jika anak anda amat terganggu dengan kesakitannya yang pedih, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk melegakan kesakitan anak anda dan mempercepat penyembuhan.

Pilihan makanan

• Elakkan daripada memberi anak anda makanan yang keras, besar potongannya, makanan atau minuman yang sangat panas, makanan masin atau pedas, atau yang berasid (seperti jus oren).
• Beri makanan yang lembut (seperti yogurt, kastard) yang tidak menambah kesakitan.
• Pastikan si manja anda minum banyak air.

Melegakan kesakitan

• Biarkan dia menghisap ais.
• Sapu gel mulut untuk melegakan kesakitan pada bahagian yang berulser.

Untuk mencepatkan penyembuhan

• Pujuk si manja supaya berkumur dengan air garam
• Galakkan dia tidur lebih.
• Galakkan anak anda makan seperti biasa.

Bila Anda Perlu Bawa Anak Berjumpa Doktor

Kadangkala ulser yang banyak bilangannya atau ulser yang tidak sembuh mungkin menunjukkan petanda masalah tersembunyi, seperti jangkitan virus. Bawa anak anda berjumpa doktor jika terdapat tanda berikut:

• Apabila ulser mulut bertambah besar atau dalam.
• Apabila terdapat banyak ulser; ini mungkin petanda penyakit tangan, kaki dan mulut atau jangkitan virus herpes (virus lepuh sejuk).
• Apabila ulser tidak sembuh selepas 2 minggu.
• Apabila terdapat pendarahan yang banyak.
• Apabila ulser disertakan dengan demam atau cirit-birit. 
• Apabila anak anda terlalu sukar makan atau minum.

UPDATE
Ubat paling berkesan, bukan BONJELLA tau, tapi ALOCLAIR. Bagus giler bendalah nih.. X pedih, cepat hilang ulser.

0 brilliant thoughts: