PILIHAN SUSU FORMULA

Keputusan untuk menyusukan si manja atau menggantikan susu ibu dengan susu lain adalah sangat peribadi dan penting. Beberapa fakta berikut boleh membantu anda membuat pilihan yang betul untuk anda dan juga bayi anda.

Penyusuan ibu adalah pengalaman yang sungguh mengagumkan bagi ibu dan juga anak. Selain itu, susu ibu adalah sumber makanan yang paling baik dan utama bagi bayi kerana ia mengandungi kombinasi nutrien yang betul dan ideal, khususnya protein, lemak, vitamin, karbohidrat, kolesterol, asid dokosaheksanoik (DHA), taurina, antibodi/antimikrob, sel hidup dan sebagainya. Hasil penyelidikan membuktikan bahawa bayi yang diberi susu ibu adalah lebih sihat. Mereka kurang berkemungkinan mendapat penyakit berjangkit, seperti meningitis (jangkitan membran dalam otak), cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan dan jangkitan saluran kencing.

Sesetengah ibu memilih untuk tidak menyusukan bayi mereka atas pelbagai sebab. Ini termasuk kurang sokongan, maklumat salah, kurang pengetahuan, dan banyak sebab lain seperti kesenangan mendapatkan susu formula, botol susu dan puting getah, serta kemudahan pensterilan.

Dalam keadaan seperti ini, kebanyakan ibu memilih susu formula atau susu daripada haiwan tenusu seperti lembu dan kambing. Sungguhpun susu formula atau susu tenusu mungkin bukan pilihan pemakanan yang terbaik untuk bayi, ia mengandungi beberapa nutrien dan vitamin yang diperolehi bayi daripada susu ibu.

Susu formula sebagai alternatif
Susu formula bayi adalah alternatif kepada susu ibu kerana ia menyerupai susu ibu dari segi kandungan nutrien. Namun, ia tidak sebaik susu ibu. Susu formula ini boleh didapati dalam bentuk susu tepung, cecair pekat atau formula sedia untuk digunakan, dan boleh dikategorikan ke dalam 2 jenis utama - formula berasaskan susu lembu dan formula berasaskan soya.

***Formula berasaskan susu lembu pada asasnya diperbuat daripada susu lembu yang telah diubah untuk menyerupai susu ibu. Susu formula ini mengandungi imbangan nutrien yang betul dan mudah dihadam. Susu formula sesuai untuk sesetengah bayi, tetapi bayi yang alah kepada protein dalam susu lembu mungkin perlu mengambil susu formula jenis lain.

***Formula berasaskan soya. Formula susu bayi berasaskan soya mungkin satu pilihan bagi bayi yang tidak toleran atau alah kepada formula berasaskan susu lembu atau laktosa, gula yang terdapat secara semula jadi dalam susu lembu.

Sungguhpun dari segi kandungan nutrien susu formula untuk bayi mempunyai beberapa persamaan dengan susu ibu, susu formula tidak dapat menandingi kekompleksan susu ibu. Di samping itu, ia mahal, menghasilkan lebih banyak gas dan menyebabkan bayi sembelit. Paling penting, susu formula bayi tidak mengandungi antibodi penting yang terdapat dalam susu ibu untuk menentang jangkitan dan penyakit.

Adakah susu tenusu penuh baik untuk si manja saya?
Bayi bawah umur satu tahun tidak sepatutnya diberi susu tenusu tetapi hendaklah diberi susu ibu atau susu formula bayi. Ini adalah kerana susu lembu dan susu kambing tidak mengandungi zat besi, serta vitamin C dan E yang secukupnya. Susu lembu juga mempunyai kandungan natrium, kalium dan klorida yang tinggi berbanding susu formula bayi.

Sebaik sahaja bayi berusia 1 atau 2 tahun, susu tenusu boleh diperkenalkan untuk membekalkan kalsium, protein dan karbohidrat. Bagaimanapun, tugas menghadamkan kandungan protein dan galian yang tinggi dalam susu lembu boleh membebankan ginjal bayi yang masih belum matang, manakala kekurangan kandungan zat besi dan vitamin C boleh menyebabkan sesetengah bayi mengalami anemia yang berpunca daripada kekurangan zat besi. Susu lembu penuh boleh diberikan selepas usia bayi mencecah 1 tahun dengan syarat si manja juga diberi makanan pejal.

Susu kambing pula dikatakan mempunyai kandungan kalsium yang tinggi dan lebih mudah dihadam daripada susu lembu disebabkan kandungan proteinnya. Bagaimanapun, Akademi Pediatrik Amerika tidak menggalakkan pemberian susu tenusu jenis ini kepada bayi kerana ia boleh menyebabkan alahan dan jangkitan yang boleh mengancam nyawa. Di samping itu, susu kambing tidak mengandungi segala nutrien, khususnya vitamin B-12 dan asid folik yang diperlukan oleh bayi untuk membesar.

Susu manusia adalah khusus untuk bayi manusia, sama seperti susu spesies mamalia lain adalah khusus untuk anak masing-masing. Bagaimanapun, bagi ibu yang tidak dapat menyusukan bayi atas pelbagai sebab, susu formula bayi boleh diberikan sebagai ganti untuk bayi yang sedang membesar, manakala susu lembu tidak digalakkan untuk kanak-kanak bawah umur satu tahun.

Semua ibu perlu mendapatkan maklumat yang tepat supaya mereka boleh membuat keputusan berasaskan pengetahuan, sama ada untuk menyusukan bayi masing-masing atau memberi susu dalam botol. Bincangkan perkara ini dengan pakar pediatrik/penyusuan sebelum ketibaan si manja anda. Ingatlah, susu ibu adalah pemakanan yang paling baik untuk bayi manusia.

Oleh Dr Gan Yoke Cheng, Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi

Sign up HB!Affiliate to enjoy free gift!

Labels: , , , , ,