BANTUAN KECEMASAN. WAJIB TAHU

Assalamualaikum

Kena klik link ini untuk tonton video tersebut > LINK BANTUAN KECEMASAN

Transkipsi Video

Kecederaan berlaku di mana-mana di rumah, di kawasan rekreasi malah di pejabat. Kepatahan, tercekik, sawan, lemas dan terbakar adalah di antara kecederaan-kecederaan yang sering berlaku. Situasi kecemasan sepeti tercekik dan lemas memerlukan perawatan awal yang dapat menyelamatkan nyawa mangsa. Perawatan awal yang cepat dan tepat bukan sahaja mampu mencegah komplikasi akibat kecederaan, malah dapat menyelamatkan nyawa dalam kes-kes seperti tercekik atau lemas. Berikut adalah tips-tips mudah yang praktikal dilakukan oleh anda dalam memberikan perawatan kecemasan bagi kes-kes kecederaan yang sering berlaku.

Pesakit yang mengalami kepatahan akan berasa sakit di tempat yang disyaki patah. Kesakitan bertambah teruk jika bahagian tadi digerakkan. Bahagian tersebut membengkak dan tidak kelihatan seperti biasa. Mungkin terdapat tanda lebam di bahagian tersebut. Jangan cemas, tenangkan mangsa. Ampu bahagian yang patah untuk mengurangkan kesakitan, gunakan anduh. Kain napkin boleh digunakan untuk tujuan ini. Bagi kes patah tulang tangan letakkan kain napkin pada bahagian yang patah sepanjang tangan dari siku ke bahagian tengah jari dan ikat di kedua-dua hujung kain. Letakkan bandage atau kain segi tiga di atas dada dengan bahagian hujung segi tiga menghala ke siku tangan yang cedera. Letakkan tangan tersebut di dada dengan membengkokkan sedikit tangan menghala ke bahu bertentangan. Simpulkan kedua-dua hujung kain di bahagian leher mangsa. Bawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Terkena cecair panas boleh mendatangkan kecederaan. Berikut adalah langkah kecemasan kecederaan akibat melecur. Tenangkan mangsa. Kenal pasti bahagian yang melecur. Jangan gunakan ketulan ais kerana ia mungkin melekat pada bahagian tersebut. Segera sejukkan bahagian yang melecur dengan mengalirkan air sejuk ke bahagian tersebut selama 20 minit. Jangan dibubuh bahan-bahan yang berikut ke tempat yang melecur : ubat gigi, kicap, serbuk kopi dan sebagainya kerana ini adalah langkah yang salah. Jangan pecahkan gelembung-gelembung cecair yang terbentuk di permukaan yang melecur kerana ini semua akan mengundang jangkitan. Tutup kawasan yang melecur dengan kain bersih yang dilembapkan dan bawalah berjumpa doctor untuk rawatan lanjut.

Tujuan perawatan cemas untuk kes sawan adalah untuk mengelakkan mereka dari mendapat kecederaan semasa mereka sedang mengalami sawan. Longgarkan semua pakaian yang boleh menganggu pergerakan pesakit semasa serangan sawan dan pastikan persekitaran yang selamat. Pastikan saluran pernafasan tidak tersekat oleh lidah atau makanan. Baringkan mangsa pada kedudukan mengiring atau sama ada ke kiri atau ke kanan bagi mengelakkan air liur dari masuk ke paru-paru. Jangan meletakkan sebarang objek keras ke dalam mulut ketika serangan sawan berlaku seperti : sudu, kayu dan sebarang benda keras kerana ini akan menyebabkan kecederaan pada mulut atau tertelan benda-benda itu. Minta bantuan hospital yang berdekatan.

Bergurau senda, bercakap semasa makan merupakan punca utama terjadinya tercekik semasa makan. Apabila seseorang itu tercekik, dia selalunya akan memegang lehernya dengan kedua-dua tangannya. Tanyakan kepada mangsa soalan-soalan ini : encik tercekik? boleh batuk? boleh bercakap? Jika mangsa boleh bercakap dan batuk bermakna saluran pernafasan tidak tersekat sepenuhnya. Galakkan mangsa terus batuk. Anda boleh bantu dengan menyuruh mangsa membongkokkan badannya , batuk sekuat-kuatnya dan tepuk belakangnya beberapa kali. Sekiranya gagal dan batuk menjadi semakin lemah, muka mangsa menjadi pucat dan biru, pernafasan tersekat, lakukan kaedah HEMLICH iaitu : berdiri di belakang mangsa dengan memeluk di bahagian perutnya sambil satu tangan membuat genggaman. Letakkan tangan satu lagi untuk mengampu genggaman tadi lalu buat tekanan kea rah ulu hati sehingga terkeluar makanan yang tercekik tadi. Sekiranya tidak berjaya sila ulangi teknik HEMLICH MANEUVER.

Kejutan elektrik boleh mendatangkan kecederaan serius malah boleh membawa maut. Mesalah utama yang perlu diberi perhatian dalam kes-kes kejutan elektrik adalah terhentinya pernafasan dan denyutan jantung. Berdiri di atas penebat seperti kotak, kayu atau pengalas kaki getah dan dengan menggunakan bahan penebat, bebaskan mangsa dari punca elektrik. Periksa pernafasan dan nadi mangsa. Sekiranya mangsa tidak bernafas dan tiada nadi, minta bantuan mulakan CPR. Bawa pesakit ke hospital untuk rawatan lanjut.

Mangsa lemas berkemungkinan besar untuk diselamatkan sekiranya bantuan pemulihan CPR dapat diberikan dengan segera dan berterusan kepada mangsa. Jangan cemas, minta bantuan. Selamatkan mangsa ke daratan. Perlu diingatkan anda harus pandai berenang untuk berbuat demikian. Ingat, keselamatan anda perlu diutamakan. Letakkan mangsa dalam keadaan selesa. Periksa keadaan pernafasan dan nadi mangsa. Sekiranya tiada pernafasan, buangkan benda asing dari mulut mangsa sekiranya ada dan berikan bantuan pernafasan ke mulut sebanyak dua kali. Dongakkan kepala mangsa untuk membuka saluran pernafasan. Beri dua bantuan pernafasan dengan memicit hidung mangsa dan menggunakan teknik hembusan dari mulut ke mulut. Sekiranya tiada nadi, teruskan dengan memberikan tekanan dada. Letakkan tangan anda pada bahagian bawah tulang rusuk. Gerakkan tangan sepanjang tulang rusuk hingga ke posisi 1. Dengan menggunakan kedua-dua belah tangan, mulakan tekanan dada sebanyak 30 kali di posisi nombor dua. Pastikan tangan anda sentiasa lurus dan menggunakan tekanan berat badan anda. Jangan cepat berputus asa dalam menjalankan bantuan CPR bagi mangsa lemas. Kajian lepas menunjukkan walaupun mangsa telah lemas selama 30 minit dan fungsi jantung telah terhenti, CPR yang berkesan boleh menyelamatkan mangsa. Pesakit mungkin akan termuntah, keluarkan air atau muntah dari mulut mangsa dari masa ke semasa. Mangsa hendaklan dibawa ke hospital dengan segera, CPR hendaklah diberikan sepanjang perjalanan.

Kenal pasti tempat yang luka. Lakukan tekanan pada tempat luka untuk mengelakkan pendarahan yang berterusan. Jangan dijerut lengan yang luka. Jangan dibubuh bahan-bahan yang berikut ke tempat yang luka : ubat gigi, kicap, serbuk kopi dan sebagainya kerana ini adalah langkah yang salah. Sila dapatkan rawatan di pusat perubatan yang berhampiran.

Regards,Mommy Hannah Damia & Ariq Emir

Labels: , , , , , , , , , ,