Sebab dia tolong cakapkan apa yang ada dalam hati Mommy jugak. Tskkkk
Rasa nak luah sangat2 tapi, sies malas. Satgi ada je kua status memacam kutuk. Haih.
*************
RAKYAT DIPAKSA TELAN TANPA PILIHAN - SAIFUL NANG
Jika saya tinggal di London, New York atau paling terukpun di Guangzhao,
Melbourne jika minyak naik saya tak terasa pun. Alternatif disediakan
untuk saya sampai dari sejauh zon 6 Kota London ke tengah bandar ataupun
ke zon 6 arah berlainan dalam masa kurang 1 jam sekalipun semasa
penyuraian waktu puncak. Apa nak risau jika Tuan Mayor Kota London juga
naik train ke tempat kerja, untuk mesyuarat dengan pelanggan di
mana-mana sahaja juga boleh naik train. Belanja pun tak banyak, guna
sahaja kad bulanan mereka itu boleh sahaja melacak ke seluruh London.
Untuk ke Manchester, Nottingham (seperti kita nak ke Kota Bharu dan
Kuala Terengganu) boleh guna train juga dengan kekerapan tinggi dan
HARGA YANG MURAH (jika nak banding dengan pendapatan mereka, harga itu
memang murah).
Hari ini kita dipaksa untuk telan kenaikan harga
tanpa kerajaan tuntaskan keperluan pengangkutan awam yang sangat parah.
Naik bas pun tidak pasti boleh sampai ke pejabat tepat atau awal dari
masa walaupun ada lorong khusus untuk bas. Saya minat melihat lorong bas
di Istanbul seperti track keretapi yang tidak boleh dilalui kereta. Tak
perlu buat landasan dan tak perlu beli keretapi mahal-mahal. Guna bas
sedia ada juga sudah lebih baik dari membuat projek pelebaran lebuhraya.
Sampai kita ada 50 lorong pun masih tetap tak cukup.
Tindakan
pentingkan diri juga boleh disabitkan. Jika hebat pengangkutan awam
nanti Proton punya jualan merosot pula. Dr. M tak akan berdiam diri.
Malaysia sudah diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan
yang sudah parah. Dapat pula ke tangan anak yang lahir atas dulang emas
yang tidak pernah merasai kesusahan rakyat secara realistik dan
peribadi. Saya tersinggung semasa pertemuan bersama beliau dalam satu
perbincangan "tehtarik" di Jibby & Co Subang awal tahun ini, beliau
berseloroh tentang isu air dan saya lihat ia tidak kelakar langsung.
Pada keadaan gawat air dengan penggunaannya bercatu dengan asbab
beberapa dari kami bercatu air di rumah sehingga mandipun nak bercatu,
beliau boleh berseloroh "Saya boleh mandi...rumah saya ada air" (lalu
ketawa).
Saya tahu ini pedas untuk Datuk Seri dan saya juga
harap tak perlu nak katakan ini secara umum. Email cadangan
berkajang-kajangpun, yang membacanya bukan dia tetapi ditapis oleh
lapisan yang mungkin lihat ini remeh. Tapi kita lupa, jika suara rakyat
ini seperti air. Jika disekat dia akan melimpah juga sehingga satu
ketika limpahan itu akan meruntuhkan empangan yang dibina selama 57
tahun.
Petronas diajar untuk mengatakan rezab minyak kita
tinggal sedikit, tetapi kerajaan lupa jurutera-jurutera carigali
Petronas ada mulut dan ada Facebook. Mereka boleh bercakap dan mereka
selalu bercakap rezab minyak kita sangat banyak lagi. Sekecil Brunei itu
sendiri rezab minyaknya masih lagi tidak habis-habis dan tidak akan
habis sehingga 2030, mengapa kita boleh fikir rezab kita akan habis pada
2030-an?
Masalah bila orang senang mentadbir, semuanya mahu
dibeli dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai gula-gula yang tidak
mengenyangkan dan tidak juga berkhasiat. Wang tunai ditabur-tabur
seperti Ali Baba Bujang Lapok memberi sedekah di pasar-pasar.
Turunlah Datuk Seri, Turunlah....
Bukan turun meletak jawatan, tetapi sebelum itu turunlah melihat
SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin susah untuk Datuk Seri tahu sehingga
Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan dan perlu berulang alik dengan
kereta sendiri yang berhutang dengan bank dengan kadar faedah bank
konvensional dan "Islamik" tapi menjerut leher. Isi minyak sendiri dan
bayar tol sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal nasi yang
dimasak oleh Datin Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami
dengan sebenar-benarnya.
Secara praktikal, itu mungkin sukar
tetapi kami yakin Datuk Seri boleh turun dan lihat sendiri dan dengar
sendiri kata-kata rakyat tanpa perlu protokol Perdana Menteri yang
kadangkala mengarut dan menjarakkan informasi rakyat kepada Datuk Seri.
Jika rakyat tak mampu sampaikan terus, rakyat akan sampaikan dalam media
sosial.
Untuk pengetahuan Datuk Seri, jika Datuk Seri buat
lawatan ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk Seri akan jadikan tempat
sampah nampak macam Hyde Park. Setinggan nampak macam hotel 5 bintang
tetapi setelah Datuk Seri pulang, semuanya dicabut semula dan tinggallah
semuanya dalam keadaan sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga
membuat kenyataan "SYUKURKAH, MALAYSIA SUDAH MAJU".
Apabila
minyak naik harga, kesannya tetap kesan domino. Janganlah Menteri
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri Ayam) membuat
kenyataakn memujuk yang harga barang tidak akan naik. Saban kali berlaku
begitu, harga naik tetap naik. Penguatkuasaan kementeriaan hanya
sekadar seperti seorang bapa menegur anak nakalnya yang panjat-panjat
rumah tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran "Haiiippppp....babab
kangg" dan kemudian sambung bersembang semula.
Dulu semasa saya
kecil, saya terpaksa percaya pada RTM. TV3 masa tu kalau nak dapat
siaran pun kena pasang tudung periuk di antena. Setiap kali nak
pilihanraya, Van Kementerian Penerangan akan buat hebahan WAYANG PACAK
di pekan sehari Felda. Ramai-ramai kami berlonggok nak tengok cerita A.R
Badul sambil hampar tikar dan kami juga terpaksa telan kempen
pilihanraya yang main dalam wayang pacak ini. Sekarang surat khabar dan
TV sudah bukan sumber doktrinisasi kerajaan lagi, kami boleh dengar
terus dari suara rakyat di sebelah sana juga sebelah sini tanpa perlu
mereka menjadi pemberita.
Datuk Seri, buanglah darah kerabat dan
darah bangsawan yang ada dalam diri. Bercampurlah dengan marhaen yang
sering terpaksa menelan semua yang disuapkan tanpa rela.
Datuk
Seri mungkin lihat, selepas beberapa bulan rakyat akan senyap kembali
dan semuanya berjalan seperti biasa dan Datuk Seri akan buat kenyataan
"Alhamdulillah, Rakyat Malaysia sudah mampu terima kemajuan".
Boleh naikkan harga minyak, tetapi siapkanlah sarana pengangkutan awam
yang murah dan efisyen serta boleh diharap. Jangan jadikan KEPERLUAN
AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan bekalan air sebagai satu
perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah itu satu khidmat
yang wajib bagi sebuah kerajaan.
Sedarkah Datuk Seri, di sebalik
penerimaan itu bukan kerana kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa
mencara jalan survival kerana sandaran mereka kepada Kerajaan sudah
tidak berguna lagi. Nenek tua yang patut berehat terpaksa menjaja untuk
tidak rasa membebankan anak-anaknya yang menjaga beliau. Berapa ramai
anak jadi yatim kerana bapanya maut dalam kemalangan motorsikal kerana
mengantuk membuat kerja tambahan sehingga 20 jam sehari? Berapa ramai
anak-anak yang rosak akhlaknya kerana ibu bapa terpaksa kerah tenaga
bekerja siang dan malam? Berapa ramai anak-anak yang terpaksa menukar
ruji mereka dari nasi kepada bubur lembik? Berapa ramaikan bapa-bapa
marhaen akan dipenjara kerana mencuri susu di pasaraya kerana anak
kecilnya menangis kehabisan susu? Berapa ramaikah adik beradik
berbunuhan kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah suami dan
isteri yang bercerai kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk
kekal bersama.
Datuk Seri tak mungkin tahu perkara ini. Kerana
ayah, atuk dan keturunan Datuk Seri ialah orang Bangsawan. Bukan Marhaen
yang melarat. Tidak salah jika saya sarankan Datuk Seri untuk belajar
dan mungkin bekerjasama dengan individu yang memimpin dalam miskin
seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya yakin, jika tiada sekatan
pembangunan dari kerajaan pusat, saya yakin cara kepimpinan TGNA mampu
ubah Kelantan menjadi negeri termaju.
Bangsawan dengan bangsawan, Marhaen dengan marhaen. Jika makan berpinggan emas, masakan tahu erti tidur berbumbung langit.
Turunlah ke bawah seperti Khalifah Ummar lakukan....secara DIAM,
sembunyi dan tidak dikenali. Jika turun padang Datuk Seri dengan
rombongan sekapal dan gempita siren-siren polis pengiring, orang buta
pun akan tahu PM yang datang.
Datuk Seri, bukannya marhaen tidak
berjimat. Sudah habis susu anak berganti air sirap kurang gula kami
berikan anak-anak kami yang menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana
marhaen sampai sudah hampir 24 jam bekerja. Jika tidur itu tidak wajib,
24 jam itu marhaen akan bekerja.
Bertimbang taralah...
Datuk Seri pembuat keputusan tertinggi di Malaysia. Input kepada
percaturan keputusan Datuk Seri ialah informasi yang diberi. Jika
informasi tidak telus, maka keputusan Datuk Seri pun akan jadi zalim
juga.
Pentadbiran Datuk Seri terlampau mahal dan sesuap makanan
Datuk Seri ialah sebaldi peluh marhaen. Bil Elektrik Datuk Seri setahun
boleh menghantar 50 orang anak-anak Marhaen menjadi doktor yang tidak
berhutang dengan PTPTN. Mungkin juga jika benar desas desus akan beg
tangan Datin Seri yang mahal itu, untuk setiap satu beg tangan itu
bernilai lebih dari pendapatan seumur hidup beberapa orang marhaen.
Datuk Seri, tak mengapa jika Wawasan 2020 tidak dicapai pada tahun
2020. Apalah guna jika dicapai tetapi kekayaan negara tidak dapat
dirasai bersama, yang miskin terus tertolak tempatnya dari daratan
negara.
Datuk Seri, MALAYSIA BELUM AMAN. MALAYSIA BELUM MAJU.
SAIFUL NANG
Orang Marhaen
//nota tambah : Datuk Seri kalau baca, saya nak ingatkan haritu ada
minta nak jumpa Datuk Seri tanpa pelobi-pelobi projek seperti di Jibby
& Co dulu. Saya bersama sekumpulan marhaen yang sudah buktikan
kebahagian dan kemakmuran negara tidak bermodalkan duit sangat. Datuk
Seri boleh menang majoriti 2/3 pun kalau cepat tahu caranya. Tapi tu
lah...kami ni Marhaen kan, lama dah minta jumpa tak dapat-dapat juga.
Saya pun tak suka jadi keyboard warrior berdegar-degar di laman sosial
jika dapat berdepan dan berhadap.
///saya bukan orang politik.
Saya bukan benci Datuk Seri, bukan juga benci kerajaan dan tidak juga
penyokong Anwar Ibrahim jauh sekali bernadikan PERKASA...tetapi saya
menulis sebagai MARHAEN MALAYSIA.
*************
Thanks SN
Dapat pulak pic nih hari nih..